Tradisi intelektual dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada pembentukan sesebuah tamadun. Ini kerana sesebuah tamadun itu dianggap terbina apabila manusia yang berada di dalamnya itu 'hidup'.
Maksud kepada 'hidup' itu ialah manusia sendiri berfikir mencari penyelesaian kepada setiap situasi yang dihadapinya. Dan, kerana itulah Islam telah meletakkan kedudukan manusia secara jelas berbeza dengan lain-lain makhluk lain yang hidup.
Islam tetap melandaskan kehidupan berasaskan kepada ilmu kerana melalui kecergasan dan kecerdasan berfikirlah maka akan menentukan lahirnya sebuah peradaban. Melalui ayat pertama, iaitu wahyu yang diterima oleh Nabi Muhamad SAW ialah berkaitan dengan "ilmu".
Baginda seorang manusia yang dipilih sebagai perantara manusia dengan Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta terlebih dahulu mengajar baginda melalui kalam-Nya. Nabi Muhamad SAW yang buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis diajar melalui perantaraan malaikat.
Berpandukan petunjuk yang terdapat dalam al- Quran, manusia juga diharapkan mampu menyelaminya secara mendalam tanpa menjadikan perbezaan pendapat sebagai sesuatu yang merosakkan kehidupan mereka sendiri.
Perkembangan tersebut menjadikan Islam telah lahir sebagai sebuah tamadun besar sehingga mampu mempengaruhi kehidupan manusia sejagat. Kelahiran tamadun Islam telah melepaskan belenggu kegelapan yang sedang melanda Eropah setelah runtuhnya tamadun Greek dan Yunani. Tradisi intelektual berkembang pesat sehingga mampu mengatasi tradisi intelektual yang berasaskan falsafah pemikiran yang dikongkong oleh pendekatan Greek dan Yunani.
Namun dalam masa yang sama, kemunculan beberapa kumpulan pemikir yang membahaskan persoalan kehidupan manusia telah mencambahkan lagi perkembangan korpus pengetahuan dan asas falsafah.
Tradisi ini tidak menyebabkan banyak persengketaan, meskipun antara murid dan guru berbeza pendapat terhadap sesuatu perkara kerana antaranya mempunyai pegangan yang kuat terhadap kejernihan sifat Rasullullah dan perintah Allah SWT.
Mereka semakin dekat dengan kezuhudan dan terus mencari ruang berserah diri kepada Allah SWT untuk mendapat keredaan-Nya.
Berbeza dengan suasana masyarakat Melayu-Islam. Tradisi perkembangan intelektual tidak menggalakkan perbincangan dan dialog secara terbuka dilakukan, sebaliknya mereka yang berilmu mengambil peluang untuk menundukkan pemikiran masyarakat di sekelilingnya.
Pertembungan pendapat menjadi sesuatu yang negatif dan amat menakutkan sehingga menyebabkan lahirnya sikap jumud dan taksub.
Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan oleh Syed Hussin Al-Attas, Intellectuals in Developing Societies, disebabkan oleh tradisi feudal menjadikan masyarakat di negara-negara membangun tidak menggalakkan perkembangan intelektual.
Perangkap minda itulah akhirnya telah mencorakkan bentuk masyarakat di negara-negara membangun, termasuk Malaysia. Ia turut menyebabkan sebahagian daripada umat Islam berpecah kepada beberapa kumpulan.
Perpecahan itu juga telah menyebabkan ada di antara kumpulan itu mengasingkan diri daripada kumpulan yang lain, sehingga sanggup mengisytiharkan permusuhan yang mesti dihapuskan.
Antara keduanya seolah-olah sudah tidak ada lagi jalan perdamaian yang boleh dirintis untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatupadu atas pelantar Islam sendiri.
Lantaran ada anggapan bahawa perpecahan merupakan takdir yang tidak dapat diubah kerana sepanjang sejarah, umat Islam selalu berbeza pendapat dan bertengkar.
Memangnya dalam Islam, perbezaan pendapat atau dikenali sebagai ikhtilaf seringkali berlaku. Menurut Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari, Adab Iktilaf: Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah (2009), ia merupakan perkara biasa dalam kehidupan manusia dan berlaku dalam banyak urusan berkaitan peribadi, rumahtangga, masyarakat dan juga negara.
perundangan
Turut berlaku perbezaan pendapat ialah dalam perundangan Islam, iaitu yang berkaitan dengan perkara cabang syariat di mana dalam sesuatu isu, kita menemui dua tiga pandangan ulama.
Menurut penulis itu lagi, ''Bagaimanapun sehingga ke hari ini, kita tidak pernah melihat perbezaan pendapat seumpama ini mencetuskan perpecahan, pertumpahan darah dan peperangan besar sesama umat Islam di negara Islam. Ini kerana ulama dan umat Islam sangat berpegang kuat dengan etika berselisih pendapat atau adab al-Ikhtilaf dan adab al_ikhtilaf ini, menjadi formula unggul dalam mengekalkan perpaduan ummah."
Tetapi yang menjadi semakin jelas dalam perkembangan lain, perbezaan pendapat telah menyebabkan bukan sahaja berlaku sengketa, malah mengundang perpecahan umat Islam disebabkan oleh perspektif kumpulannya sahaja yang betul dan benar.
Telah berlaku peperangan antara kumpulan yang mengakui dirinya sebagi pembawa obor Syiah sehingga menyebabkan mereka yang berada dalam kelompok sunni menjadi mangsa serangan. Mereka kemudian saling berbalas serangan.
Dalam memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di dunia, kita diasak dengan perbezaan pandangan mengenai beberapa perkara sehingga melahirkan pelbagai mazhab.
Umat Islam seakan-akan berpecah dalam kelompok mazhab Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi secara dasar, dan ada pula yang mengambil sikap mengakui bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa hubungkait dengan mazhab.
Selain itu ada juga mazhab fiqh lain, meskipun tidak sebesar mazhab yang empat tersebut seperti Zahiri dan Ja'afari. Secara ringkas, mazhab-mazhab besar ini semuanya bersumber kepada sumber yang sama.
Namun mengapa ada pengikut-pengikut Abu Hanifah menentang pengikut mazhab Syafie.? Mengapa pengikut Hambali mengecam pengikut Syafie? Mengapa Syiah mengkafirkan Ahlul Sunnah Waljamaah? Wahabi menyesatkan ahlu sunnah, Wahabi juga mengkafirkan umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka.
Dari perspektif kepunyaan sesuatu mazhab itulah adakalanya umat Islam mengambil sikap memilih kelompok Muslim tertentu sahaja. Tidakkah ini menggambarkan telah berlaku perpecahan di kalangan umat Islam?
Dan kerana itu kita mungkin turut bertanya: Betulkah perpecahan dalam Islam sudah merupakan takdir? Atau mungkin pula sebahagian daripada kita akan membuat kesimpulan secara mudah berdasarkan hujah bela diri (determinism argumentation)," perpecahan tidak dapat dielakkan, karena sepanjang sejarah kita selalu pecah" dan menunjukkan dalil al-Quran dan hadis untuk mewajarkan perpecahan itu.
Perpecahan berlaku kerana setiap orang atau kumpulan tertentu merasakan bahawa pendapat kelompok merekalah yang paling benar. Lebih menakutkan lagi ialah apabila ada percubaan untuk mempertahankan pendapat tersebut secara total sehingga menganggap pendapat yang berbeza itu sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan akidah dan menjerumuskan ke pelantar kafir. Sikap inilah yang merugikan umat Islam, dan amat dibenci dalam Islam sehingga menamakan kumpulan tersebut sebagai musyrik.
"Orang yang memecahkan agamanya menjadi beberapa golongan, kemudian setiap golongan merasa bangga dengan golongannya." (QS.23:53)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, dan diterima dari Muadz bin Jabal, disebutkan:
Serulah umat yang buat ma'aruf, dan laranglah berbuat mungkar sampai nanti ada suatu saat ketika orang mengikuti kebatilan, menaati hawa nafsunya, dan mengistimewakan dunia. Dan di zaman itu, orang merasa i'jab dengan pendapatnya sendiri.
Memiliki pendapat, menyakininya dan menyebarkannya tidak dilarang dalam Islam. Yang diharamkan ialah menjadikan perbedaan pendapat itu sebagai bibit perpecahan atau beranggapan bahwa pendapat kita adalah satu-satunya kebenaran. Islam mengamalkan prinsip toleransi, dan tidak melarang kepada perbezaan pendapat. Ini ditegaskan oleh Allah SWt melalui firman-Nya Dan berpeganglah kami semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-cerai... (Surah ali-Imran: 103)
Pada fuqaha sepakat menyatakan bahawa fiqh merupakan hasil ijtihad mereka melalui metode berfikir tertentu. Kerana method yang mereka gunakan berbeza-beza, maka hasilnya pun berbeza-beza. Setiap fuqaha yang melakukan ijtihad akan mendapat pahala, baik hasil ijtihadnya benar ataupun keliru. Mereka berpegang pada prinsip ijtihad yang menyatakan bahawa apabila seorang hakim melakukan ijtihad dan hasilnya ijtihadnya itu benar, maka ia akan mendapat dua pahala, dan apabila hasil ijtihad itu keliru, maka ia akan mendapat satu pahala.
keliru
Tidak seorang pun di antara mereka mengetahui apakah hasil ijtihadnya itu benar ataupun keliru. Mereka melakukan ijtihad agar tidak terjadi kekosongan hukum tentang suatu tindakan semata-mata kerana menjunjung perintah Allah .
Bahkan, para khalifah sekalipun tidak bersikap fanatik terhadap hasil ijtihadnya. Bagi memecahkan sebarang perbezaan pendapat, mereka membanding-bandingkannya dengan lain-lain pendapat daripada mazhab-mazhab tersebut. Daripada penilaian dan urutan penaakulan pemikiran itu akhirnya diambil satu keputusan yang menjadi rujukan umum. Khalifah Umar bin Khattab mengatakan:
"Hai manusia sesungguhnya pendapat yang benar itu hanya pada Rasulullah saw, kerana Allah swt memperlihatkan kebenaran itu kepadanya. Ada pun pendapat yang kita hasilkan hanya merupakan perkiraan dan usaha sungguh-sungguh. Oleh sebab itu, laksanakanlah apa yang disunahkan Allah swt dan Rasul-Nya, dan janganlah menjadikan pendapat yang keliru sebagai sunnah."
Kesedaran di atas dimiliki oleh para pendokong mazhab. Mereka semua mengatakan bahawa apabila ada hadis atau pendapat yang lebih kuat dan lebih baik daripada pendapatnya, maka itulah keputusan yang harus diterima. Kesedaran ini menunjukkan bahawa para imam menganjurkan kepada para pengikutnya agar membuang hasil pemikirannya apabila mereka menemukan hasil pemikiran yang lebih kuat. Di samping itu, mereka mengkehendaki lahirnya amalan toleransi antara umat dan menghilangkan sikap fanatisme terhadap sesuatu pendapat, agar umat tidak terus menerus dilanda bebalisme