Saturday, August 29, 2009

Mukjizatnya Azan

Oleh : KAMARUL SADILA


Pesanan Semasa Mendengar Azan...

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.... lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. "Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan
berkumandang.

Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak .

Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.
"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." semasa sakaratul maut menghampiri kami.
Amin..amin.. amin Yarobbal a'lamin.."

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.;
Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid,
tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa terlalu
lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan
bola sepak. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang
berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya.

Kepada sahabatku yang dimuliai & dihormati...
Kita boleh mengirimkan ribuan 'jokes' dan ' surat berantai' melalui
e-mail mahupun edit/mengedit dan lain-lain..tetapi bila mengirimkan yang berkaitan dengan ibadah seringkali berfikir 2 atau 3 kali.....

Monday, August 24, 2009

Tafsir al-Fansuri (2)_Perihal Kiblat

Fahri Abdullah al-Masri

Perihal kiblat

142 --- 145

Tuhan mengisahkan sikap orang yang tertentu mempertikaikan hal perubahan kiblat umat Islam ketika kiblat mereka berubah dari Baitul Maqdis kepada Mekkah. Agak menarik jika kita dilihat bagaimana Tuhan telah menamakan mereka dengan panggilan yang kasar iaitu, orang-orang yang bodoh.

Tuhan telah mengirim jawapan dan Dia tak pernah meninggalkan nabi teraba-raba dalam kegelapan mencari jawapan balas. Ini kerana, sikap tidak menjawab itu akan memperlihat kelemahan Islam itu sendiri.

Jawapan yang dikirim Tuhan adalah, Timur dan Barat itu milik Tuhan. Di mana-mana pun kita hadapkan wajah, itu bukan lagi persoalan. Ada falsafah yang tersendiri kenapa umat Islam dihadapkan ke arah kaabah itu.

Dalam kesempatan ini, al-Quran menjelaskan mengenai kedudukan istimewa kedudukan kita sebagai umat Muhammad berbanding umat-umat terdahulu. Iaitu, kita akan diangkat menjadi saksi ke atas perihal salah laku umat terdahulu di akhirat kelak. Dan, Rasulullah pula akan menjadi saksi ke atas kebenaran penyaksian kita itu. Itu keistimewaan kita.

Kembali kepada tajuk perubahan kiblat ini, al-Quran menjelaskan bahawa perubahan itu juga adalah sebagai suatu ujian untuk melihat siapakah yang benar-benar mengikuti Rasulullah dan siapa pula yang berpaling tadah.

Ini kerana, peralihan kiblat amat berat diterima kecuali bagi mereka yang diberikan petunjuk Allah dan Dia tidak akan menghilangkan bukti iman mereka berhubung hal itu.

Nabi Muhammad rindukan kaabah tempat baginda selalu bersolat, mengikuti ajaran Ibrahim, nenek moyangnya, baginda kerap bermunajat dan mengangkat wajahnya ke langit. Lalu, hal perubahan kiblat itu diperkenankan Tuhan. Sambil itu, Allah s.w.t menjelaskan bahawa hal perubahan kiblat itu memang sedia diketahui Ahli Kitab bahawa hal itu adalah perintah dari Tuhan. Tapi, mereka sengaja membangkitkan isu tersebut.

Tuhan mengingatkan bahawa jika Ahli Kitab diperjelaskan hal peralihan kiblat itu, nescaya mereka ingkar walaupun hal itu memang mereka maklum menurut kitab mereka sendiri.

Mereka tidak akan menghadapkan wajah ke arah kiblat umat Islam dan kita diminta supaya tidak mengikut kiblat mereka itu.

146 --- 152 Diriwayatkan bahawa Ahli Kitab memang mengenali Nabi Muhammad s.a.w melebihi anak mereka sendiri. Maka, setiap catitan di dalam Taurat itu sudah tentu membenarkan kerasulan Muhammad s.a.w itu termasuklah hal peralihan kiblat tadi yang sudah sedia mereka tahu.

Dan, hal yang semacam itu tidak diketahui oleh orang Arab kerana perbezaan tulisan Ibrani dalam Taurat tersebut. Orang-orang Arab yang beriman dengan Rasulullah itu mengikut saja petunjuk rasul walhal Ahli Kitab mengetahui kebenaran, tetapi mereka ingkar dan berusaha keras menyembunyikan kebenaran terhadap kerasulan dan ajaran baginda.

Bagi setiap umat itu, pada asalnya telah pun ada arah kiblat ketika mahu menyembah Tuhan. Namun, dengan peredaran zaman dan tokok-tambah ke atas ajaran Tauhid tadi, telah berubah wajah keaslian ajaran Tauhid tadi.

Maka dalam kes ini, Tuhan cuma meminta kita tidak mempedulikan kritikan penganut agama lain, sebaliknya berterusanlah berlumba-lumba membuat kebaikan dan serahkan saja hal ini kepada Allah di hari akhirat kelak.

Mengadap kiblat ini adalah lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia. Yang diinginkan Tuhan ialah semangat perpaduan antarabangsa atas nama Islam. Sebab itu, dalam masyarakat tempatan, kita digalakkan solat jemaah sebagai satu usaha mengikat tali persaudaraan itu.

Tapi, bagaimana mahu menyatukan ikatan roh antara masyarakat Muslim seluruh dunia?

Maka kiblat inilah jalan perantara perhubungan rohani sesama Muslim apabila syiar Islam ini telah berkembang ke seluruh dunia, di India, China, Alam Melayu dan lain-lainnya sebagai bukti kebersamaan Muslimin sejagat dalam menjunjung nilai Tauhid Nabi Ibrahim.

Arahan menghadapkan wajah ke arah kiblat ini turut dikritik dan Tuhan meminta mereka itu jangan berasa lemah ketika berdepan dengan kritikan tersebut, melainkan ketakutan itu cuma diletakkan kepadaNya. Tuhan merujuk hal ini sebagai nikmat agar terbangkit rangsangan dan motivasi untuk kekal bersolat menghadapkan wajah ke kiblat walaupun mereka dicela.

Allah seolah-olah memujuk Muslimin saat dicela ekoran kritikan berhubung peralihan kiblat itu, dengan menyatakan bahawa hal perubahan kiblat itu adalah satu nikmat pemberian Allah yang setanding dengan nikmatNya mengutuskan rasul seperti Muhammad yang dibangkitkan dalam kalangan warga Arab sendiri.

Dekatnya rasul dalam kalangan bangsa Arab ini membangkitkan rasa cemburu di hati Ahli Kitab yang menyangkakan bahawa kehadiran rasul teragung ini, mungkin berlaku di dalam daerah lingkungan nasab mereka sendiri. Tetapi, rupa-rupanya hal itu tidak berlaku.

Setelah Bani Israel itu mengalami tempoh pembersihan aqidah Tauhid yang panjang dan ada kalangan mereka yang ingkar sehingga sanggup membunuh nabi-nabi mereka sendiri, maka Tuhan membangkitkan rasul terakhir dalam bangsa Arab yang masih punya pertalian dengan nasab keturunan Ibrahim dan bagindalah manusia Arab terbaik yang masih setia memegang ajaran Tauhid Ibrahim ketika orang Arab lain terbelenggu dengan amalan syirik.

Sebab itulah, kiblat di Kaabah dipilih Tuhan sebagai kiblat kerana ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Dan, bangsa Arab itu nasabnya sampai kepada Ibrahim melalui anak baginda, Nabi Ismail a.s.

Seperti mana kedudukan nenek moyang baginda Ibrahim yang pernah memecahkan berhala, berusaha keras membunuh amalan syirik, maka seperti itu jugalah nikmat Tuhan memberikan kepada orang Arab Muslimin terawal itu, seorang rasul yang disifatkan Tuhan sebagai:-

"..seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui."

Dengan sebab nikmat berkiblatkan kepada Kaabah dan dengan nikmat kemunculan nabi baru dalam kalangan Arab yang mengikuti ajaran Tauhid Ibrahim ini, dengan menghapus amalan kufur, syirik ini, maka Tuhan pun memperingatkan kita..

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). (Al-Baqarah: 152)

Tafsir Al-Fansuri (1)_Surah Al-Fatihah

Fahri Abdullah al-Masri

Al-Fatihah

Sebuah surah yang teristimewa dan tidak diberikan kepada lain melainkan umat Muhammad s.a.w. Ia adalah kunci awal, tanda pengenalan berhubung keesaan Tuhan dan sebuah lambang pengukuhan terhadap kedudukan Allah s.w.t sebagai Raja kepada sekalian juzuk dan dimensi alam yang diciptaNya.

Alam buana yang terbelah kepada beberapa ruang lapisan ini, maka Dialah Penciptanya dan segenap pelusuk, setiap inci alam ini mesti tunduk, setia kepadaNya dengan memujiNya setiap saat dan ketika.

Sebagai sebuah surah pembukaan dan pengenalan, Al-Fatihah telah menyampaikan garis-garis besar matlamat kehidupan insan di dunia. Dan, surah ini telah merangkumi semua isu dan tema utama dalam al-Qur'an itu.

Al-Fatihah memberitahu kita bahawa, antara 99 nama Allah yang mulia itu (Asma'ul Husna), hanya dua nama Tuhan yang penting diteliti, difahami dan dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh.

Iaitu nama dan sifat Tuhan - Ar-Rahman dan Ar-Rahim - yang mana kedua-duanya menggambarkan sifat kasih sayang Tuhan yang menenggelamkan sifat-sifatNya yang lain.

Maka, walaupun Tuhan itu suatu Zat yang maha perkasa, maha agung sehingga boleh menimbulkan ketakutan kita terhadapNya, namun, apa yang lebih penting dan utama, dalam Al-Fatihah yang disebutkan sebagai surah awal pengenalan Tuhan ke atas hambaNya, Allah s.w.t mahu menjelaskan keadaan DiriNya yang sebenar, iaitu kasih sayangNya mengatasi kemurkaanNya.

Lantaran itu, dalam ayat-ayat al-Qur'an selepas ini, kita akan kerap bertemu dengan ayat yang memperihalkan taubat dan kalimat Al-Ghafur dan Ar-Rahiim itu akan sentiasa beriringan.

Ayat-ayat ini yang kerap diulang-ulang ini seolah-olah telah mengundang makna bahawa, dalam setiap keadaan, jangan pernah kita berputus asa memohon rahmatNya dan bertaubat sentiasa dan jangan penuh putus harap daripada menuntut keampunanNya.

Ini kerana, Dia adalah Zat yang maha Pengasih dan Dia selalu ingin mendengar rayuan hambaNya yang berdosa dan selalu ingin bertaubat kepadaNya.

Al-Fatihah mengirim berita perkhabaran yang merunsingkan si penzalim dan menggembirakan mereka yang teraniaya di dunia akibat kezaliman yang dihempapkan ke atas mereka.

Berita itu ialah mengenai wujudnya sebuah dunia baru, Yaum ad-Deen, hari agama, hari hukum, hari pembalasan yang membela nasib mereka yang teraniaya di dunia.

Ia adalah hari di mana, tiada ertinya segala dimensi bualan manusia seperti yang wujud di dunia ini, seperti ekonomi dan perdagangan, politik dan kenegeraan, perbincangan mengenai masalah daulah negara, persempadanan semula seperti tajuk-tajuk yang pernah dibualkan di dunia.

Ini kerana, hari pembalasan itu adalah hari di mana milik Tuhan yang berkuasa dan tiada wacana lagi yang bererti pada saat itu melainkan hukum-hukum dan pembalasan ke atas setiap amalan, baik atau jahat. Anak pinak dan kekayaan tidak membawa kesan pengertian apa-apa, melainkan mereka yang membawa pulang hari yang sejahtera!

Tuhan juga memberitahu kita bahawa Dialah tempat kiblat segala sembahan dan Dia juga tempat kiblat segala permintaan, tempat tumbuhnya segala kehendak kita dalam rangka menyelesaikan urusan seharian.

Namun begitu, Tuhan meminta kita mendahulukan sembahan terlebih dahulu, sebelum kita meminta segala hajat keperluan kita. Keperluan kita dikemudiankan selepas amalan sembahan. Tidak boleh didahului keperluan dan membelakangkan sembahan kepadaNya.

Antara kebanyakan hajat keperluan manusia yang tidak terbatas itu, apakah hajat teragung dan keperluan manusia yang paling utama itu? Doa apakah yang paling makbul dan Dia akan selalu mengambil perhatian terhadap isi permintaan doa itu?

Iaitulah doa agar ditunjukkan sebatang jalan yang lurus; siratal mustaqim. Sebatang jalan, lorong, denai Tauhid yang lurus menuju kepada keredhaanNya.

Jalan yang lurus ini memang sudah lama terbentang wujud. Tetapi, adakah kita mampu berjalan di atas jalan yang lurus pada malam yang gelap gelita tanpa pelita. Pekatnya kegelapan malam, akan menyebabkan kita akan mudah terbabas juga jika tidak dipanu cahaya.

Maka cahaya itulah petunjuk yang membantu kita dan memandu kita agar dapat berjalan dengan lebih selamat dan sejahtera. Tunjukilah kami ke arah jalan yang lurus.

Seperti yang termaklum, jalan yang lurus ini juga memiliki sejarahnya yang tersendiri. Ia bermula dengan nama millah Ibrahim, hanif, ajaran Tauhid sebelum dinamakan Islam saat bangunnya si murabbi ulung; Saidina Muhammad s.a.w.

Jalan lurus ini sebetulnya pernah dirintis oleh beberapa kelompok sebelum ini seperti Iblis, kaum-kaum dahulu yang pernah ingkar terhadap ajaran-ajaran nabi yang dibangkitkan dalam kalangan mereka. Al-Qur�an akan merincikan lagi setiap isi butiran lanjut mengenai mereka ini dalam bab-bab pengkhianatan, episod-episod penderhakaan seterusnya.

Kaum terdahulu yang pernah merintis jalan Tauhid ini adalah Bani Israel yang telah melakukan penderhakaan beberapa kali kerana ditipu oleh pendeta dan rabai dalam kalangan mereka.

Ekoran penderhakaan itu, maka Allah telah bertindak membenamkan mereka ke dalam bumi dan pelbagai bentuk lagi seksaan yang dikenakan ke atas mereka. Sebahagian mereka telah lenyap, hingga yang tinggal ada sebilangan kecil pengikut nabi yang masih setia dengan Tauhid itu.

Juga, antara mereka yang merintis lorong Tauhid ini, watak yang ingkar seperti Iblis yang angkuh dan sombong setelah mengenal Tuhan tapi tetap menderhaka kepada Tuhannya lalu dia isytihar bahawa dirinya disesatkan oleh Tuhannya.

Kita berlindung daripada Allah s.w.t daripada mengikuti jalan penderhakaan, simpang-siur lorong Tauhid yang penuh onak duri di kiri kanannya dan rintangan di depan atau di belakangnya.

Thursday, August 20, 2009

Tips Berguna Kejutkan Orang Bersahur

Oleh : blue ocah...ditokok tambah oleh HAFIZ.


Puasa pun nak dekat, tapi time untuk bangunkan orang bersahur adalah time paling crucial sekali. Dibawah ni ada2 tips menarik untuk dicuba:-)

Kalau nak kejutkan orang bangun tidur especially sahur..cam ni antara caranya..

1. pegang anak jari kiri/kanan sambil tu panggil nama dia perlahan lahan...

2. sentuh bahu org tidur tu..dan goyangkan perlahan lahan..sambil panggil nama dia...

3. renjis air kat muka dia...sambil panggil nama dia...

4. tampar tampar manja pipi dia..sambil panggil nama dia..dengan lemah lembut

5. tutup kipas/air cond

tapi kalau still tak ada respon jgak buwat camnih...

1. jerit nama dia kuat kuat...woi..(nama si fulan)..bangun!!!

2. gigit ibu jari kaki dia..cam hantu toyol gigit

3. simbah air sebaldi...kalau boleh air panas yang baru masak tu...

4. tarik rambut dia sampai jatuh dari tilam...kalau botak..letak minyak panas atas kpla dia

5. goyang badan dia kuat2 then jerit gempa bumi gempabumi! tsunami!tsunami! rumah terbakar! rumah terbakar

6. letak kfc ke mcd ke xpun ikan patin masak tempoyak yg baru dibeli sebelah hidung dia..bgi ambik bau sikit.nak lagi kau letak la BUDU kt hidung

still gak tak ada respon buwat camnih...

1. pergi kat telinga dia...then sebut maa rabbuka! sambil seru nama dia byk kali...

2. pergi kat dia, baca je surah yaa sin....ajak kawan ramai-ramai duk sebelah dia.

tapi kalau still tak ada respon jgak...ni je la cara terakhir

1. panggil je orang masjid/surau untuk uruskan...kerana tuhan lebih menyayanginya. ...

kekekkekkke. .jgn mare...

Selamat Berpuasa ye... puasa jgn tak puasa.

Monday, August 17, 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


ANTARA KEBERKATAN DALAM RAMADAN IALAH AMALAN BERSAHUR YANG DAPAT MENYIHATKAN BADAN. - Gambar hiasan


TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".

Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Tuesday, August 11, 2009

Apa ke natang HINI nie beno...

Oleh : Amin Fadzlan



Apa itu H1N1?

viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dr virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yg sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yg lebih tinggi di dlm rantaian makanan @ manusia. dan semasa di dlm badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air born' dan menjangkit dr manusia kpd manusia.

Jangka hayat virus

Oleh kerana ia adalah viurs yg air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. jika selepas tempoh tersebut ia idak mendapat perumah @ host( badan manusia) ia akan mati.

Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yg baik....akan 'bersih' dr virus tersebut.

Apa yg perlu tahu ?

Sebenarnya telah terdapat outbrake di US sebelum terjadi outbrake di mexico tp tidak dilaporkan kpd WHO. kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu 'baling batu sembunyi tangan' lalu tercetus la outbrake di mexico.

Virologi virus H1N1 incubation period yg singkat pada purata 2 hari dgn julat 1 - 4 hari ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit.

Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkit paling cepat dan selewat2nya hari ke-4. H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kpd pesakit yg berisiko, ia dapat membunuh. jika pesakit adalah seorang yg normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara serangan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan virus ini akan menyerang sistem pernafasan ( seperti selsema burung dan SARS) peringkat awal, ia hanya pada 'trakea' jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru2 dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse' ia amat merbahaya kpd golongan yg berisiko tinggi.

Siapa yang berisiko

1.orang yg ada masaalah 'obesiti' @ gemok

2. perempuan yg mengandung

3 .orang yg ada astmatic

4 . orang2 yg bermasalah dgn sistem imunisasi ( menjalani 'operation yg besar', kanak2 yg belum cukup suntikan imunisasi, golongan2 yg rendah tahap imuniti eg. HIV ext.)
* kematian yg telah dilaporkan terdiri drpd golongan2 di atas

Simptom2

day 1 - rasa kurang sihat, tak bermaya

day 2 - selsema, batuk dan demam yg kekal ( demam tidak turun walaupun telah mkn ubt demam)

day 3 - rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas

day 4 - sakit dada yg teruk....... .jumpa doktor dengan segera..... .

day 5 and above lung collapse @ koma

Langkah2 kawalan

1 - golongan2 yg berisiko, elakakn drpd kesesakan ( kawasan yg padat dgn orang ramai)

2 - menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dgn betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3 - elakkan diri jika terdapat 'orang batuk, bersin dan kurang sihat'

4 - jika kurang sihat, elakan diri dr beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5 - jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jgn hadirkan diri di kawasan orang ramai. jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang2 nya 3 ply mask)

6 - utk org yg sihat, elakkan dr kawasan yg padat.

7 - jika ada tanda2 simptom diatas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8 - jika sihat, jgn ke hospital atau klinik utk 'checkup' kerana di kawasan tersebut mengandungi bnyk virus.

9 - tak perlu ambil anti-viral @ apa2 ubt influenza!!! !!!!!!!. jika sihat dan mengambilnya, akn mengakibatkan resistan kpd vaksin @ ubt2 untuk merawat jika terkena jangkitan. ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yg telah mengambil ubt2 tersebut terlebih awal.

10 - vaksin hanya akan 'wujud' seawal2nya pada oktober dan hanya utk 'frontliner' shj. dan utk awam selewat2nya pada 2010.

11 - utk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal shj di malaysia. mengambil masa 6 jam utk run test kpd 1 batch sample. jika klinik menyatakan mereka boleh jlnkan ujian, itu tidak betul. tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12 - tahap kesedaran dan pengetahuan yg tinggi amat perlu utk kita sama2 menghadapi outbreak ini.

Sama2lah kita berdoa kpd ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu.Amin.

Ini adalah sumber dr taklimat H1N1 oleh pengarah kawalan penyakit berjangkit dr kem. kesihatan m'siadi Pan Pasific Klia pada 01.08.2009.

Monday, August 10, 2009

Kalau ALLAH itu Maha Baik, Mengapa Buat Neraka?

Oleh : Amin Fadzlan

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan
majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar
nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:"Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti
masuk syurga... Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak.

Assalamu'alaikum. "

Mari Ulangkaji Tentang Ramadan

Oleh : Mohd Yaakub

Assalaamu'alaikum

Kehadiran bulan Ramadhan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba- NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini.

Memandangkan Ramadhan semakin hampir dengan kita, ada baiknya juga kita bersama-sama mengulangkaji perkara-perkara yang disunnahkan sempena bulan Ramadhan ini.

Berikut beberapa artikel yang perna saya disiarkan dalam blog Minda Akob ini untuk dikongsikan bersama dengan para pengunjung semua.

1) Keistimewaan Bulan Ramadhan
http://akob73.blogspot.com/2008/08/keistimewaan-bulan-ramadahan.html

2) Amalan-Amalan Sunnah Pada Bulan Ramadhan
http://akob73.blogspot.com/2008/08/amalan-amalan-sunnah-pada-bulan-ramadan.html

3) Bersahur Cara Rasulullah
http://akob73.blogspot.com/2008/08/bersahur-cara-rasulullah.html

4) Berbuka Puasa Cara Rasulullah
http://akob73.blogspot.com/2008/08/berbuka-puasa-mengikut-sunnah.html

5) Keutamaan Ibadah Puasa
http://akob73.blogspot.com/2008/09/keutamaan-ibadah-puasa.html

6) Solat Tarawih Menurut Cara Rasulullah
http://akob73.blogspot.com/2008/09/mengerjakan-solat-tarawih-menurut.html

7) Kemuliaan Malam Lailatul Qadar
http://akob73.blogspot.com/2008/09/kemuliaan-malam-lailatulqadar.html

8) Tanda-Tanda Malam Lailatul Qadar
http://akob73.blogspot.com/2008/09/tanda-tanda-lailatulqadar.html

9) Lailatul Qadar
http://akob73.blogspot.com/2008/09/lailatulqadar.html

Semoga ada manfaatnya dan sila sebarkan.

Sekian Wassalaam

Wednesday, August 5, 2009

Andai Ini Ramadhan Terakhir...Maaf zahir batin terdahulu dariku...


Oleh : Saadiah Awek


wahai dikau...renunglah engkau akan nasib diri
wahai qalbu...sedarkah engkau akan gerak hati
wahai aqal...terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir kali
buatmu sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
kematian...adalah sesuatu yang pasti

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu
siangnya engkau sibuk berzikir
biarpun anak tekak kering kehausan air
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
solat yang dikerjai...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
mengadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau persiakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dipersia begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...
bakal kau syairkan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan pesta-pestaan
berterawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
oleh itu duhai Ilahi...kasihanilah daku hamba-MU ini

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupai mereka yang tersayang
ayuh ke mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih berkat dari seribu bulan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal bersedia batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman
duhai Ilahi...

andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati-hati kami
menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasihsayang mu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

namun saudara...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
samada Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali
hanya yang termampu bagi seorang hamba itu
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA
andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak ............ ..]

Seorang yang berakal, dalam sisi Allah, tak akan takut terhadap pencelaan dari
orang yang mencela..... Semua makhluk, dalam pandangannya, identik sebagai
orang yang lemah, sakit dan miskin.

Renung-renung bersama..... ....

Sunday, August 2, 2009

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri


JUNHAIRI BIN ABD JALI


REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda:

"Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan",

Bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab danSyaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.

Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.

Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.

Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?

Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?

Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.

Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
Firman Allah bermaksud:

"Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa." – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).

Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.

Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.

Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud:

"Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123).

Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.

Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata:

"Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".

Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.

Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.

Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?

Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah:

"Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."

Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.

INFO

· Syaaban adalah detik memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala.

· Jiwa pejuang adalah menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.

· Antara perkara disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang.

· Kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Masa sesuai muhasabah diri.