Monday, August 24, 2009

Tafsir Al-Fansuri (1)_Surah Al-Fatihah

Fahri Abdullah al-Masri

Al-Fatihah

Sebuah surah yang teristimewa dan tidak diberikan kepada lain melainkan umat Muhammad s.a.w. Ia adalah kunci awal, tanda pengenalan berhubung keesaan Tuhan dan sebuah lambang pengukuhan terhadap kedudukan Allah s.w.t sebagai Raja kepada sekalian juzuk dan dimensi alam yang diciptaNya.

Alam buana yang terbelah kepada beberapa ruang lapisan ini, maka Dialah Penciptanya dan segenap pelusuk, setiap inci alam ini mesti tunduk, setia kepadaNya dengan memujiNya setiap saat dan ketika.

Sebagai sebuah surah pembukaan dan pengenalan, Al-Fatihah telah menyampaikan garis-garis besar matlamat kehidupan insan di dunia. Dan, surah ini telah merangkumi semua isu dan tema utama dalam al-Qur'an itu.

Al-Fatihah memberitahu kita bahawa, antara 99 nama Allah yang mulia itu (Asma'ul Husna), hanya dua nama Tuhan yang penting diteliti, difahami dan dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh.

Iaitu nama dan sifat Tuhan - Ar-Rahman dan Ar-Rahim - yang mana kedua-duanya menggambarkan sifat kasih sayang Tuhan yang menenggelamkan sifat-sifatNya yang lain.

Maka, walaupun Tuhan itu suatu Zat yang maha perkasa, maha agung sehingga boleh menimbulkan ketakutan kita terhadapNya, namun, apa yang lebih penting dan utama, dalam Al-Fatihah yang disebutkan sebagai surah awal pengenalan Tuhan ke atas hambaNya, Allah s.w.t mahu menjelaskan keadaan DiriNya yang sebenar, iaitu kasih sayangNya mengatasi kemurkaanNya.

Lantaran itu, dalam ayat-ayat al-Qur'an selepas ini, kita akan kerap bertemu dengan ayat yang memperihalkan taubat dan kalimat Al-Ghafur dan Ar-Rahiim itu akan sentiasa beriringan.

Ayat-ayat ini yang kerap diulang-ulang ini seolah-olah telah mengundang makna bahawa, dalam setiap keadaan, jangan pernah kita berputus asa memohon rahmatNya dan bertaubat sentiasa dan jangan penuh putus harap daripada menuntut keampunanNya.

Ini kerana, Dia adalah Zat yang maha Pengasih dan Dia selalu ingin mendengar rayuan hambaNya yang berdosa dan selalu ingin bertaubat kepadaNya.

Al-Fatihah mengirim berita perkhabaran yang merunsingkan si penzalim dan menggembirakan mereka yang teraniaya di dunia akibat kezaliman yang dihempapkan ke atas mereka.

Berita itu ialah mengenai wujudnya sebuah dunia baru, Yaum ad-Deen, hari agama, hari hukum, hari pembalasan yang membela nasib mereka yang teraniaya di dunia.

Ia adalah hari di mana, tiada ertinya segala dimensi bualan manusia seperti yang wujud di dunia ini, seperti ekonomi dan perdagangan, politik dan kenegeraan, perbincangan mengenai masalah daulah negara, persempadanan semula seperti tajuk-tajuk yang pernah dibualkan di dunia.

Ini kerana, hari pembalasan itu adalah hari di mana milik Tuhan yang berkuasa dan tiada wacana lagi yang bererti pada saat itu melainkan hukum-hukum dan pembalasan ke atas setiap amalan, baik atau jahat. Anak pinak dan kekayaan tidak membawa kesan pengertian apa-apa, melainkan mereka yang membawa pulang hari yang sejahtera!

Tuhan juga memberitahu kita bahawa Dialah tempat kiblat segala sembahan dan Dia juga tempat kiblat segala permintaan, tempat tumbuhnya segala kehendak kita dalam rangka menyelesaikan urusan seharian.

Namun begitu, Tuhan meminta kita mendahulukan sembahan terlebih dahulu, sebelum kita meminta segala hajat keperluan kita. Keperluan kita dikemudiankan selepas amalan sembahan. Tidak boleh didahului keperluan dan membelakangkan sembahan kepadaNya.

Antara kebanyakan hajat keperluan manusia yang tidak terbatas itu, apakah hajat teragung dan keperluan manusia yang paling utama itu? Doa apakah yang paling makbul dan Dia akan selalu mengambil perhatian terhadap isi permintaan doa itu?

Iaitulah doa agar ditunjukkan sebatang jalan yang lurus; siratal mustaqim. Sebatang jalan, lorong, denai Tauhid yang lurus menuju kepada keredhaanNya.

Jalan yang lurus ini memang sudah lama terbentang wujud. Tetapi, adakah kita mampu berjalan di atas jalan yang lurus pada malam yang gelap gelita tanpa pelita. Pekatnya kegelapan malam, akan menyebabkan kita akan mudah terbabas juga jika tidak dipanu cahaya.

Maka cahaya itulah petunjuk yang membantu kita dan memandu kita agar dapat berjalan dengan lebih selamat dan sejahtera. Tunjukilah kami ke arah jalan yang lurus.

Seperti yang termaklum, jalan yang lurus ini juga memiliki sejarahnya yang tersendiri. Ia bermula dengan nama millah Ibrahim, hanif, ajaran Tauhid sebelum dinamakan Islam saat bangunnya si murabbi ulung; Saidina Muhammad s.a.w.

Jalan lurus ini sebetulnya pernah dirintis oleh beberapa kelompok sebelum ini seperti Iblis, kaum-kaum dahulu yang pernah ingkar terhadap ajaran-ajaran nabi yang dibangkitkan dalam kalangan mereka. Al-Qur�an akan merincikan lagi setiap isi butiran lanjut mengenai mereka ini dalam bab-bab pengkhianatan, episod-episod penderhakaan seterusnya.

Kaum terdahulu yang pernah merintis jalan Tauhid ini adalah Bani Israel yang telah melakukan penderhakaan beberapa kali kerana ditipu oleh pendeta dan rabai dalam kalangan mereka.

Ekoran penderhakaan itu, maka Allah telah bertindak membenamkan mereka ke dalam bumi dan pelbagai bentuk lagi seksaan yang dikenakan ke atas mereka. Sebahagian mereka telah lenyap, hingga yang tinggal ada sebilangan kecil pengikut nabi yang masih setia dengan Tauhid itu.

Juga, antara mereka yang merintis lorong Tauhid ini, watak yang ingkar seperti Iblis yang angkuh dan sombong setelah mengenal Tuhan tapi tetap menderhaka kepada Tuhannya lalu dia isytihar bahawa dirinya disesatkan oleh Tuhannya.

Kita berlindung daripada Allah s.w.t daripada mengikuti jalan penderhakaan, simpang-siur lorong Tauhid yang penuh onak duri di kiri kanannya dan rintangan di depan atau di belakangnya.

No comments: